Banner created with MyBannerMaker.com
Showing posts with label riba. Show all posts
Showing posts with label riba. Show all posts

Monday, April 19, 2010

Riba dan Sistem Kewangan Islam

PENGASAS mazhab Maliki, Imam Malik Annas RA pernah menyemak sehelai demi
sehelai al-Quran untuk mencari apakah dosa paling besar terhadap umat Islam
seperti difirmankan Allah SWT dalam kitab suci itu.

Lalu selepas selesai meneliti 6,666 ayat suci itu, beliau membuat satu
rumusan seperti diterangkan dalam kitab 'Jamik al-Ahkam' karangan Imam
Qurtubi - tiada dosa paling besar melainkan riba.

Rumusan itu bersandarkan kepada satu klausa dalam ayat ke-278 dan 279 dari
surah al-Baqarah iaitu: "Hai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan
tinggalkan sisa riba jika kamu beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan berperang denganmu."

Pengurus Kanan Jabatan Pengawasan Syariah, RHB Islamic Bank; Zaharuddin
Abdul Rahman, berkata klausa itu adalah 'berperang denganmu' iaitu bermaksud sesiapa yang terbabit dalam riba 'sanggup' berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.

"Dosa lain seperti memakan daging babi dinyatakan sebagai perbuatan haram
dan berdosa tetapi ia tidaklah sampai berperang dengan Allah SWT; tetapi
apabila melakukan riba, Allah sendiri mengisytiharkan berperang dengan
individu itu.

"Dalam permusuhan, ada musuh yang kita pulaukan selain musuh yang ingin kita
hancurkan dan Allah menganggap mereka yang melakukan riba adalah musuh yang
ingin Allah hancurkan," katanya yang menjelaskan riba dan sistem kewangan
Islam melalui www.zaharuddin.com.

Beliau bagaimanapun kesal kerana pada masa kini, terlalu ramai umat Islam
terbabit dalam riba; berpunca daripada tiadanya pengetahuan mengenai
perbuatan haram itu selain sikap tidak sensitif terhadap dosa.

Umat Islam kini lebih sensitif dan takut terbabit dengan dosa seperti arak
dan babi kerana dapat melihat dosa itu berbanding dosa riba kerana ia tidak
dapat digambarkan.

"Ramai umat Islam yang tidak menyedari dan rasa bersalah apabila terbabit
dalam riba, syirik dan kurafat. Jika mereka tidak solat atau berzina, mereka
sedar melakukan dosa tetapi dalam tiga dosa berkenaan, ramai yang tidak
sedar," katanya.

Riba ditakrifkan sebagai penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang
disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan penerima pinjaman. Dalam
pertukaran barang dan kewangan pula, ia bermaksud penambahan nilai akibat
kuantiti yang berbeza atau perbezaan waktu pertukaran.

Rasulullah SAW menjelaskan, riba adalah antara tujuh dosa besar seperti
sabda Baginda mengenai dosa berkenaan iaitu: "Menyekutukan Allah, sihir,
membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan hak (jalan dibenarkan
syarak), makan riba, makan harta anak yatim, melarikan diri ketika perang
dan menuduh (berzina) wanita muhshanat (wanita yang menjauhkan perkara dosa)
yang beriman lagi tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan," (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis lain pula, Baginda bersabda: "Dosa riba memiliki 72 pintu, dan yang paling ringan adalah seperti seseorang berzina dengan ibu kandungnya
sendiri." (Riwayat Ibnu Majah).

Zaharuddin berkata, selain berperang dengan Allah dan dosa seperti berzina
dengan ibu kandung; kehidupan individu yang terbabit dalam riba akan hilang
keberkatannya malah cenderung melakukan dosa.

Ia berdasarkan keterangan Ibnu Hajar dalam kitabnya az-Zawajir ketika
mentafsirkan ayat 275 dari surah al-Baqarah iaitu: "Allah menghalalkan jual
beli dan mengharamkan riba."

"Di dalam Kitab Jamik al-Ahkam oleh Al-Qurtubi juga, Ibnu Abbas menerangkan
wang daripada sumber riba tidak akan diterima untuk apa saja kebaikan
seperti sedekah, menunaikan haji atau berjihad," katanya.

Dosa dan kesan riba pula akan menyelubungi tidak saja penerima riba tetapi mereka yang memberinya seperti Sabda Rasulullah SAW: "Allah melaknat orang
yang memakan riba, orang yang memberi riba, dua orang saksi dan pencatat
(dalam transaksi riba), mereka sama saja," (Riwayat Muslim dan Ahmad).

"Antara jenis riba yang banyak disertai umat Islam pada masa kini
membabitkan pinjaman daripada institusi kewangan bukan Islam seperti
pinjaman kereta dan rumah," katanya.

Berikutan itu, katanya, umat Islam kini wajib mendapatkan pembiayaan menurut sistem perbankan Islam bagi mengelakkan riba malah mereka tidak harus menggunakan alasan darurat kerana sudah banyak perbankan Islam sejak beberapa tahun lalu.

"Perbezaan antara bank konvensional dan sistem perbankan Islam adalah urusan pembiayaan bank Islam membabitkan urusan jual-beli iaitu bank membeli kereta atau rumah yang diingini pelanggan dan kemudian menjual kepada pelanggan dengan harga pokok dicampur untung bank dengan persetujuan, keuntungan itu adalah disepakati halal oleh ulama," katanya.

Sehubungan itu, Zaharuddin berkata, bagi umat Islam terbabit dalam riba,
jalan penyelesaian adalah menukarkan pinjaman itu kepada pinjaman berasaskan
Islam serta bertaubat.

"Kita kena berusaha untuk keluar daripada dosa riba, mungkin dikenakan kos tambahan untuk pertukaran pinjaman itu tapi anggaplah sebagai penebus dosa. Jangan tangguh untuk keluar daripada riba; apa gunanya mencari kadar faedah rendah di bank bukan Islam jika ia membabitkan peperangan dengan Allah?" katanya.

Oleh Nasron Sira Rahim, Berita Harian
(diambil dari : www.syifa-alhidayah.com)

Saturday, February 6, 2010

PERBEZAAN INSURAN KONVENSIONAL & TAKAFUL

Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman (http://www.zaharuddin.net/)

Ramai yang kurang memahami beza di antara praktis yang dilakukan oleh syarikat Insuran dan Takaful. Setelah saya menulis tentang terdapat unsur gharar dan riba di dalam insuran konvensional. Maka timbul dakwaan bahawa jika demikian, takaful juga mengandungi proses yang sama. Lalu, bagaimanakah bentuk yang dilakukan oleh syarikat-syarikat Takaful?. Bukankah ia juga mempunyai elemen meletakkan wang dan menunggu pampasan apabila musibah mendatang.?
Jawapan mudah saya adalah, syarikat-syarikat Takaful telah mengubah aqad ‘Mu'awadah Maliah' yang digunakan oleh syarikat Insuran konvensional kepada aqad Tabarru'at (kontrak derma). Hasilnya, aqad derma tidak terikat dengan syarat-syarat jual beli tadi, tidak juga diperlukan untuk jelas dan terang jumlah itu dan ini semasa serahan derma.
Contoh mudahnya, apabila anda memberikan hadiah kepada seseorang, adakah menjadi syarat agar anda memberitahu kepadanya berapa jumlah yang anda beri? Jawapnya sudah tentu tidak menjadi syarat. Ini kerana, ia adalah sumbangan baik dari satu pihak, tatkala itu tidak banyak syarat diperlukan untuk melaksanakan aqad derma ini.
Bagaimanapun bagi memudahkan urusan syarikat Takaful, mereka akan menggunakan gabungan beberapa aqad. Asas asasnya adalah :-
• a) Tabarru' dan Mudarabah
• b) Wakalah dan Tabarru
Saya tidak akan mengulas kedua-dua bentuknya secara panjang lebar, cukup saya sertakan gambar rajah bagi kedua-dua bentuk agar ia dapat memberi sedikit gambaran awal kepada para pembaca. ( Malangnya saya gagal memasukkan gambar rajah ini )
1) Takaful Model Wakalah dan Tabarru'
Keterangan ringkas : Syarikat Pengendali Takaful dilantik oleh pencarum sebagi wakil bagi menguruskan sejumlah wang tertentu untuk didermakan bagi tujuan takaful apabila diperlukan. Untuk melaksanakan tujuan itu syarikat Takaful akan mengambil sejumlah upah (al-Ujr) atas sebagai kos pengurusannya. Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai wakil untuk melaburkan wang yang belum didermakan dan atas dasr Ju'alah, syarikat akan mengambil satu lagi jumlah upah sekiaranya ia berjaya mendapatkan untung dari pelaburan yang diusahakannya itu.
2) Takaful Model Tabarru dan Mudarabah
Keterangan ringkas : Menurut model ini, pihak pencarum meletakkan wangnya dalam jumlah tertentu atas aqad tabarru', pihak syarikat akan menguruskan tabung takaful dan dalam masa yang sama melaburkannya, jika terdapat lebihan keuntungan (surplus) setelah ditolak semua kos-kos pengurusan, pihak syarikat Takaful akan menghadiahkan sejumlah wang kepada peserta sebagai penghargaan penyertaannya.
Kesimpulan; perubahan dari aqad yang mengandungi ciri jual beli yang diamalkan oleh Insuran konevsnional menjadikannya bermasalah dari sudut Shariah. Ini berbeza dengan yang digunakan oleh Takaful yang menggunakan samada aqad derma (tabarru') atau (wakalah).
Berikut pula perbezaan antara keduanya dalam bentuk jadual ;-
Konvensional
1.Kontrak Mu'awadah (Pertukaran Jual Beli) antara penanggung insurans dengan pIhak yang diinsurankan
2.Pemegang polisi membayar premium kepada penanggung insuran
3.Penanggung insuran bertanggung jawab membayar manfaat insuran seperti dijanjikan daripada asetnya (kumpulan wang insuran dan kumpulan wang pemegang saham)
4.Pelaburan kumpulan wang bebas tanpa sebarang kekangan Shariah
5.Wang pelanggan dianggap wang syarikat insuran dan dimilki olehnya sejurus dibayar oleh pelanggan.
6.Keuntungan yang dihasilkan dari kumpulan wang pencarum adalah dimiliki sepenuhnya oleh syarikat. Ia juga adalah objektif utama syarikat insuran.
7.Pencarum tidak berhak untuk mendapat sebarang bahagian dari 'surplus'

Takaful
1.Kontrak Tabbaru' ( Derma & sumbangan ) yang disertakan dengan pelaburan.
2.Peserta membuat caruman ke dalam skim. Peserta saling menjamin sesama sendiri di bawah skim.
3.Pengendali Takaful bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar Takaful daripada kumpulan wang takaful.
4.Sekiranya berlaku kekurangan dalam kumpulan wang takaful, pengendali Takaful akan menyediakan (Qardhul Hasan) pinjaman tanpa faedah untuk menampung kekurangan berkenaan.
5.Aset kumpulan wang Takaful HANYA boleh dilaburkan dalam instrumen yang selari dengan Shariah.
6.Wang pencarum tidak di kira sebagai wang syarikat malah ia diasingkan dan tidak dimiliki oleh pengendali
7.Keuntungan hasil pelaburan dari kumpulan wang pencarum tidak dimiliki oleh syarikat kecuali nisbah yang disumbang dari wang syarikat sendiri. Baki keuntunaghn adalah milik tabung kumpulan wang pencarum.
8.Lebihan, untung atau pulangan dipegang oleh tabung untuk dibahagikan semula kepada pencarum.


Demikian penerangan ringkas saya.
Ust Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Tujuh Dosa Besar : Keempat - Makan Riba

free counters